Sunday, November 21, 2010

Perjumpaan Keluarga Kali ke 4 dan perasmian blog keluarga


Perjumpaan Keluarga AKPK kali ke 4 pada 20 November 2010 berjaya diadakan. Pelbagai aturcara telah diadakan termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak, sukaneka kanak-kanak,sukaneka dewasa dan cabutan bertuah.

Penasihat Keluarga Ayah Teh Zul ( Abu Bakar bin Abd Kadir ) telah menekan butang tetikus sebagai simbolik perasmian laman blog keluarga. Ahli Keluarga boleh mengunjungi laman www.akpk14.blogspot.com untuk mengetahui aktiviti keluarga.

Selain Ketua Urusetia ( Musaniff bin Ab.Rahman ) yang menyampaikan ucapan serta taklimat perjumpaan, Penasihat Keluarga ( Ayah Teh Zul ) dan Ayah Ngah Li ( sepupu kepada anak-anak pawang kadir ) juga turut memberi ucapan.

Pada tahun ini satu hadiah istimewa telah diperkenalkan selain hadiah-hadiah cabutan bertuah, pertandingan serta sukaneka. Hadiah itu ialah peratus kehadiran tertinggi ahli perdu. Pada kali ini Perdu Fatimah dan Perdu Jamaluddin berkongsi kemenangan dengan peratus kehadiran ahli 100%. Hadiah telah disampaikan oleh Ketua Urusetia.

Walaupun dengan kehadiran 95 orang ahli, namun kemesraan serta semangat kekeluarga amat tinggi ditunjukkan oleh setiap ahli keluarga. Pada tahun ini perdu Abd Rahman ditugaskan untuk memasak ayam masak merah dirumah mereka dan dibawa ke Rumah Besar sebagai juadah makan tengahari. Begitu juga perdu Sapiah ( Ulam dan sambal ), perdu Husin ( ayam masak merah ), perdu Abu Bakar ( ikan dan acar ) dan perdu 10 ( nasi dan sayur nangka ). Setiap perdu berjaya menjalankan tugas mereka.

Acara tayangan LCD perjumpaan keluarga ke 3 mengamit memori ahli keluarga peristiwa setahun yang lepas. Turut mengamatkan suasana ialah sesi memperkenalkan ahli keluarga baru oleh wakil perdu.

Majlis perjumpaan keluarga selesai sekitar jam 4.15 petang dengan sesi bergambar beramai-ramai mengakhiri acara.

Tuesday, November 16, 2010

DOKUMEN PERJUMPAAN KELUARGA AKPK KE 3 DAH SIAP


Diantara kandungannya ialah,

Anak-anak Hj Awang
Anak-anak Pawang Kadir
Aturcara perjumpaan keluarga ke 3
Senarai penuh & talian perhubungan AKPK
Anak-anak Imam Kassim & Imam Koming
Keratan dalam media



Harga,

Hitam putih semuanya ( tiada plastik ) RM5.00 senaskah
Kulit Depan warna ( dan plastik ) RM8.00 senaskah
Warna semuanya ( dan plastik ) RM20.00 senaskah


Sila buah tempahan sebelum 19hb November 2010 ( Tel : 013-9010637 – Redtone line ). Boleh diperolehi semasa perjumpaan 20hb November 2010.


Kepada Mak Ngah Timah,

Sila rancang sukaneka kanak-kanak dan orang dewasa.


Peringatan kepada wakil perdu,

Sila beritahu semua ahli keluarga agar dapat hadir seramai mungkin. Jangkaan kehadiran terkini 200 orang sahaja.

Monday, November 15, 2010

SELAMAT DATANG SEMUA AHLI KELUARGA












Senarai Ahli AKPK ( sehingga 28 November 2009 )


Isteri 1
Perdu Abd Rahman 61
Perdu Sapiah 36
Perdu Husin 18
Perdu Abu Bakar 34
Perdu Kelesom 21
Perdu Jamaluddin 9
Perdu Ramlah 11
Perdu Dahilan 5
Perdu Halimah 8
Perdu Salbiah 5
Perdu Badariah 3
Perdu Fatimah 7
Perdu Sakinah 7
Perdu Tarmizi 1
Anak Angkat 19

JUMLAH 246


Jangkaan kehadiran terkini 200 orang. Oleh itu semua masakan berdasar kepada bilangan ini berbanding 300 sasaran terdahulu.

Sunday, October 31, 2010

300 AHLI BAKAL HADIR DI PERJUMPAAN KELUARGA KALI KE 4


Mesyuarat AJK AKPK telah memutuskan untuk mengadakan Perjumpaan Keluarga kali Keempat pada 20hb November 2010. Mesyuarat dipengerusikan oleh Ketua Urusetia dan turut dihadiri oleh Penasihat Keluarga.

Semua ahli keluarga diminta agar dapat memaksimakan kehadiran. Satu hadiah istimewa akan diperkenalkan bagi perjumpaan kali keempat ini. Hadiah tersebut adalah peratus kehadiran ahli perdu paling ramai. Ini melibatkan hanya perdu yang mempunyai bilangan ahli lima dan keatas sahaja.

Perjumpaan kali ini juga turut menjemput pangkat sepupu kepada anak Pawang Kadir. Mereka adalah di kalangan anak/cucu kepada Aki Yunus, Aki Mohamad, Wan Pelangai, Wan Saedah, Wan Maharom, Aki Abdullah dan Wan Habesah.

Buat pertama bagi perjumpaan kali diperkenalkan bawa juadah secara bederau. Iaitu setiap perdu dikehendaki membawa satu atau dua juadah yang telah di masak dan dibawa ke rumah besar pada pagi 20hb Nov 2010. Mesyuarat telah memutuskan adalah seperti berikut:

1. Perdu Abd Rahman - Lauk ayam masak merah untuk 150 orang

2. Perdu Sapiah - Ulam, sambal dan buah untuk 300 orang

3. Perdu Husin - Lauk ayam masak merah untuk 150 orang

4. Perdu Abu Bakar - Lauk ikan ( 150 orang ) dan sayur (300 org)

5. Perdu 10 - Nasi, sayur nangka dan air minuman

Manakala bagi makanan pagi semua keluarga diminta membawa makanan masing-masing.

Aturcara : Ucapan Penasihat, Ucapan dan taklimat Ketua Urusetia, Perasmian blog keluarga, Sukaneka Keluarga, Tahlil dan doa selamat, Makan perdana keluarga, Sesi memperkenalkan ahli keluarga baru, cabutan bertuah,penyampaian hadiah dan gambar beramai-ramai.

Saturday, October 30, 2010

PERJUMPAAN KELUARGA KALI KE 4


Mesyuarat memutuskan perjumpaan keluarga kali Ke 4 akan diadakan pada 20 November 2010 ( Sabtu ) di Rumah Besar Kg. Bukit Keledang. Mesyuarat dipengerusikan oleh Ketua Urusetia turut hadir Penasihat Keluarga. Semua ahli keluarga dipersilakan hadir. Beberapa keputusan lain mesyuarat seperti berikut:-

1. Bawa juadah makan tengahari secara berderau diagihkan mengikut perdu
2. Pakaian sama warna mengikut perdu digalakkan tidak diwajibkan
3. Bawa makanan pagi secara sendiri mengikut keluarga
4. Sumbangan setiap keluarga minima RM 20.00 perlu disegerakan
5. Hadiah istimewa kepada peratus kehadiran ahli Perdu paling ramai.
6. dan lain-lain

Butiran perincian akan dikemukakan kemudian.

Saturday, October 9, 2010

PUSARA TOK


Kepada AKPK kalau nak ziarah Pusara Tok Pawang Kadir berada di Perkuburan Kg Guai dekat pokok kundang. Sedekahkan Al Fatihah kepadanya serta seluruh umat Islam apabila berkesempatan.

Sunday, September 26, 2010

RUMAH ARWAH WAN TEBING ( ESAH )


Rumah ini banyak kenangan. Kepada kami disinilah tempat kenduri majlis perkahwinan kami( Musaniff & Zukhairina )

Friday, September 17, 2010

JEMPUTAN KAHWIN ANAK AYAH TEH ZUL


Semua Ahli Keluarga dipersilakan ke Majlis Perkahwinan anak lelaki Ayah Teh Zul bernama @ Zulhairi dengan pasangannya Norsharina pada 27 November 2010 ( Sabtu ) di No.59 Kg Sri Buntar, 28300 Triang.

Manakala sebelah perempuan pula akan mengadakan Majlis pada 6 November 2010 ( Sabtu ) di No.1 Jalan 7/6 Taman Seri Bayu Tasik Tambahan, 68000 Ampang, Selangor.

SYAWAL 1431 : SUASANA DI RUMAH BESAR




Beberapa gambar suasana Hari Raya Aidil Fitri di Rumah Besar Kg. Bukit Keledang. Maaf, gambar mungkin kurang jelas.

Wednesday, September 15, 2010

CERITA KETUA URUSETIA DALAM MASTIKA



Mastika keluaran Oktober 2010 telah memasukkan cerita Ketua Urusetia dengan tajuk " Musaniff sudah bermimpi menjadi pawang?.Selain gambar Ketua Urusetia juga dipaparkan gambar Pawang Kadir,Rumah Besar dan Perdu Abd Rahman.Beberapa pesanan penting Pawang Kadir dan Pawang Rahman telah dirakamkan diantaranya

a. Jangan sombong dan megah
b. Biarlah orang datang jangan kita cari orang
c. Ilmu Warisan Pawang Kadir adalah anugerah Allah
d. Kuasa penyembuh adalah diserah kepada Allah
e. Dan Kekata enam tentang ilmu

Monday, September 13, 2010

SYAWAL 1431 : PERDU ABD RAHMAN BERAYA





Tahun ini banyak ahli keluarga yang tidak dapat turut serta. Kebiasaanya pada hari raya pertama selepas solat sunat raya kami semua akan berkumpul di rumah B.04 Jalan Bakti,Rantau Perintis, Bandar Jengka ( Rumah Musaniff - Ketua Urusetia ).
Tapi tahun ini dapat jumpa Wan Kecik ( Wan Pelangi ) di Jengka 25.

Wan Kecik sangat teruja dengan kunjungan kami dan memanggil dengan suara yang kuat dan melepas kerinduan dengan kata " Man " apabila melihat Musaniff menuju kerumah. Apabila bersalaman diantara wan dan cucu ini melihat lilihan air mata membasahi pipi kedua-duanya. Wan kecik semasa memanggil nama " Man " sebenarnya beliau teringat akan anak saudaranya Abd Rahman iaitu ayah kepada Musaniff.

Nota: Kepada ahli keluarga lain sila email gambar raya keluarga untuk dipaparkan di laman keluarga ini ke ..topazaniq@gmail.com

Thursday, August 12, 2010

RAMADHAN 1431 : PERUTUSAN KETUA URUSETIA


Bismillahirohma nirrahim
Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Penyayang

Salam Ramadhan dan salam kekeluargaan.

Kini telah tiba bulan yang ditunggu oleh seluruh umat Islam iaitu Bulan Ramadhan. Begitu juga perasaan yang sama dirasai oleh semua Ahli Keluarga kita. Amat malang jika ada diantara salah seorang Ahli Keluarga kita yang tidak seronok apabila bulan Ramadhan tiba. Jika ini berlaku saya menyeru kepada ketua keluarga ( Perdu ) memainkan peranan memberi nasihat serta mengambil tahu ahli keluarga kita ini. Perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan jika perlu bantuan daripada pihak Urusetia sila maklumkan dalam kadar yang segera.

Ada beberapa perkara ingin saya sampaikan kepada Ahli Keluarga sekelian. Pertama, rebutlah seberapa banyak peluang membuat pahala di bulan Ramadhan ini. Selain daripada melaksanakan ibadah berpuasa , beribadah di Malam Qadar dan memperbanyakkan ibadah di malam akhir Ramadhan , kita boleh melakukan perkara yang lain diantaranya ialah mengeluarkan sedekah atau infaq kepada golongan miskin yang memperjuangkan Islam, melakukan solat tahajjud, bersolat terawih, mendengar majlis tazkirah Ramadhan, bersahur, menganjurkan atau bersama menjayakan majlis berbuka puasa, membaca Al Quran, jika membeli juadah berbuka puasa belilah daripada penjual yang menutup aurat serta tidak fasiq dan lain-lain lagi.


Ahli Keluarga sekelian saya berpesan kepada diri saya dan Ahli Keluarga sekelian jika terdapat anak-anak kita yang masih lagi tidak mendengar kata-kata kita, maka hendaklah kita bersabar. Mohon pertolonganlah kepada ALLAH agar kita dikurniakan dengan kesabaran serta beroleh cara menanganinya.

Salah satu caranya ialah kita santuni mereka dengan baik, jangan herdik mereka. Dengar pandangan mereka dan beri pandangan kita pula atas sesuatu yang sepatutnya, jangan paksa mereka menerima pandang kita. Jika kita bersedekah atau infaq, keluarlah atas nama mereka. Tambahan banyakkan munajat kepada ALLAH agar lembutkan hati mereka. Insyallah mudah-mudah ALLAH kabulkan.

Semuga keluarga kita dikurniakan dengan kesejahteraan dunia dan akhirat

Wasallam.
MUSANIFF BIN AB.RAHMAN
KETUA URUSETIA AKPK

Tuesday, July 20, 2010

PERDU KELESOM@MAIMON


Anak kelima Pawang Kadir bernama Kelesom.Dilahirkan pada tahun 1951. Beliau juga dikenali sebagai Maimon dan merupakan anak sulung isteri Pawang Kadir yang ke tiga ( Siti Bt Pendek ).Berkahwin dengan Abu Bakar bin Awang Mat Piah.Hasil perkahwinan mereka dikurniakan 6 orang anak.

Sekarang menetap di Desa Juara Bandar 32, Bera. Sehingga sekarang mempunyai 18 ahli keluarga dengan seorang suami(telah meninggal dunia ), anak dan pasangan 9 orang dan cucu 7 orang.

Wednesday, July 14, 2010

Ketua Urusetia AKPK buka kedai di Kerayong


Salam kekeluargaan diucapkan kepada semua AKPK. Ketua Urusetia telah membuka kedai yang menjalankan perkhidmatan seperti berikut:

Perunding Motivasi,Takaful & Insuran Kenderaan,Road Tax,Pakaian Islamik,Printing Kertas Kerja dan Pengurusan Kontrak Kerja.
Di alamat:

PAKATAN AMAL SEJAGAT ( CAWANGAN BERA )
No.29 ( Bawah )Jalan Kerayong 5, 28200 Bandar Bera ( Kerayong ) sederet dengan Green Cafe


Semua AKPK dijemput membantu dalam urusan yang berkaitan.

Friday, July 2, 2010

PERDU ABU BAKAR



Abu Bakar bin Abd Kadir adalah anak ke empat Pawang Kadir. Beliau juga dikenali dengan panggil Zulkifli. Dilahirkan pada tahun 1940. Perkahwinannya yang pertama dengan Zainon binti Mat Isa tidak mempunyai cahayamata. Kemudian beliau berkahwin dengan Wan Azizah bin Wan Ali dan dikurniakan 6 orang anak.

Sehingga kini Perdu Abu Bakar mempunyai 34 orang ahli. Dengan isteri 2 orang, anak dan pasangan 11 orang,cucu dan pasangan 17 orang dan cicit 2 orang.

Sekarang Abu Bakar dan keluarga tinggal di Perumahan Sri Buntar, Triang. Beliau aktif dalam bidang kemasyarakatan dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Kampong, Ahli Majlis Daerah Bera , Pengerusi Ketua-Ketua Kampong Daerah Bera dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Bera.

Ahli Keluarga AKPK bertambah

Kelahiran cicitnya yang diberi nama Abdul Rayyan bin Abdul Rahim telah menambah bilangan AKPK. Dilahirkan pada 1 Julai 2010 jam 5.08 pagi di Hospital Pusrawi Tun Razak, begitulah kami diberitahu oleh ayahnya Abdul Rahim melalui pesanan sms.

Monday, June 21, 2010

Bersedia hadapi Peperiksaan 2010

Terdapat 9 orang AKPK akan menghadapi peperiksaan tahun ini. Mereka adalah

A. UPSR

Tiada


B. PMR

1. Muhamad Zulhusni bin Nawawi ( Perdu Abd Rahman )
2. Ahmad Naqib bin Musaniff ( Perdu Abd Rahman )
3. Nurul Faiqah binti Mohd Nazir ( Perdu Husin )
4. NurAmeirah bt Zan Azman ( Perdu Badariah )
5. Khairunnisa bt Murad ( Perdu Fatimah )


C. SPM

1. Mohd Atiqullah bin Hamdes ( Perdu Sapiah )
2. Fatimah Najwa binti Musaniff ( Perdu Abd Rahman )
3. Zul Hafiz bin Zul Azli ( Perdu Abu Bakar )
4. Siti Sarah binti Abdullah ( Perdu Salbiah )


Kami semua mendoakan agar mereka membuat persediaan yang terbaik dan berjaya dengan kejayaan yang cemerlang.

Thursday, June 17, 2010

PERDU HUSIN


Husin atau Ibrahim adalah anak ketiga Pawang Kadir. Dilahirkan pada tahun 1939. Pernah berkhidmat sebagai Penghulu Mukim Triang. Berkahwin dengan Siti Zailan bt Mat Akil ( lahir tahun 1938 ).

Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan empat orang cahayamata. Dua orang lelaki dan dua orang permpuan. Husin meninggal dunia pada tahun 1994 ketika berusia 55 tahun. Manakala isterinya meninggal dunia pada tahun 2006 ketika berusia 68 tahun.

Sekarang jumlah ahli Perdu Husin ialah seramai 18 orang. Seorang isteri, anak serta pasangan 7 orang dan cucu 10 orang.

Anak-anak Husin ialah,

Siti Rokiah, Abdul Khalid, Siti Rokimah dan Abdul Khalil.

Tuesday, June 15, 2010

CETUSAN PERJUMPAAN KELUARGA PAWANG KADIR

Cetusan ini telah dirakamkan dalam Pendahuluan Dokumen Perjumpaan Keluarga:

Alhamdulilah syukur ke Allah s.w.t serta selawat dan salam keatas
junjungan Nabi Muhammad s.a.w kerana diberi kekuatan untuk
menunaikan hasrat Allaharham Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Kadir ( "Pawang Rahman" ).
Hasrat beliau adalah untuk mengadakan pertemuan keluarga Pawang Kadir.

Haji Abdul Rahman telah memberitahu saya beberapa perkara untuk
dilaksanakan sebelum beliau meninggal dunia. Diantaranya ialah
mengadakan pertemuan Keluarga Pawang Kadir dan membuka pusat rawatan
untuk penagih dadah dan rawatan penawar atas nama warisan Pawang Kadir.

Didalam perjumpaan keluarga itu beliau sendiri mahu menunjukkan kepada
anak-cucu-cicitnya petua dan cara-cara betul untuk menyembelih, melapah dan menyiang daging binatang ( lembu,kerbau dan sebagainya ). Tetapi semasa hayat beliau tidak sempat melihat pertemuan keluarga Pawang Kadir menjadi nyata.

Sempena merealisasikan hasrat Haji Abdul Rahman maka pada
1hb Januari 2007 pertemuan kali pertama berjaya diadakan dengan
kehadiran ahli keluarga menghampiri 200 orang. Pihak urusetia
perjumpaan ahli keluarga telah bersetuju mengadakan pertemuan ini
setahun sekali dan tarikh yang berikutnya ( kali kedua ) dipersetujui adalah pada 22hb Disember 2007. Tetapi pada tarikh itu banjir telah melanda Negeri Pahang termasuk daerah Bera, menyebabkan pertemuan ditunda ke tarikh lain.

Dalam keadaan serba kepayahan urusetia perjumpaan telah bersetuju mengadakan perjumpaan keluarga kali kedua pada 9hb Disember 2008 iaitu pada 11 Zulhijjah 1429. Alhamdulilah dengan kehadiran 112 orang ahli keluarga dan dengan
beberapa aktiviti yang dijalankan cukup menghiburkan serta mencapai matlamat
perjumpaan ahli keluarga.

Manakala perjumpaan kali ketiga pula diadakan pada 28hb November 2009
bersamaan 11 Zulhijjah 1430 dengan kehadiran 140 AKPK dan 20 orang tetamu khas.




Musaniff bin Haji Abdul Rahman
Penyusun

Tuesday, June 8, 2010

Dokumen Perjumpaan Keluarga ke 3 akan diterbitkan


Syukur kehadrat Ilahi kerana dokumen perjumpaan keluarga AKPK ke 3 telah siap dan bakal diterbitkan tidak lama lagi. Menurut Ketua Urusetianya, Musaniff dokumen yang mengandungi 33 mukasurat ini akan dilancarkan tidak lama lagi.

Semua peristiwa ,gambar penting dan aturcara pertemuan keluarga AKPK kali ke 3 pada 28 November 2009 lalu telah siap didokumentasikan. Satu majlis ringkas bakal dibuat bagi melancarkan dokumen perjumpaan ini. Kepada semua ahli AKPK boleh membuat tempahan mulai sekarang, dengan memaklumkan melalui shout box atau terus kepada Ketua Urusetia.

PERDU SAPIAH

Anak kedua Pawang Kadir bernama Sapiah, dilahirkan pada tahun 1938. Suami pertamanya bernama Awang Basir bin Haji Hamid .Setelah meninggal dunia suami pertama Sapiah berkahwin dengan Zali bin Mohamad. Sapiah meninggal dunia sekitar tahun 1990an dalam usia sekitar 52 - 60 tahun.

Hasil perkongsian hidup dengan kedua-dua suami Sapiah dikurniakan lapan orang anak dan 5 daripadanya telah mendirikan rumahtangga. Sapiah mempunyai 9 orang cucu dan pasangannya. Manakala sehingga tulisan ini dicatatkan beliau mempunyai 3 orang cicit. Jumlah semua ahli Perdu Sapiah ialah 28 orang.

Anak-anak Sapiah ialah,

Hamdes,Aminah,Amran,Abu Hasan,Rogayah,Ismail,Abd Rahim dan Rokiah

Nota:
1.Kepada keluarga Mak Ngah Sapiah minta emailkan gambar Mak Ngah Sapiah dan maklumat tambahan yang lain ke topazaniq@gmail.com

2. Urusetia blog telah dihubungi oleh Abd Rahim anak Sapiah memaklumkan bahawa nama sebenar ayahnya seperti berikut " Zali bin Mohamad "( telah dipinda,maaf atas kesilapan )

KEKATA ENAM

1.0 Pertama

Bermula hidupnya Manusia ini dengan adanya Nyawa

2.0 Kedua

Hidupnya Nyawa dengan adanya Akal

3.0 Ketiga

Hidupnya Akal dengan adanya Ilmu

4.0 Keempat

Hidupnya Ilmu dengan adanya Amalan

5.0 Kelima

Hidupnya Amalan dengan adanya Yakin

6.0 Keenam

Hidupnya Yakin itu, maka tertolaklah

6.1 Syak
6.2 Waham
6.3 Prasangka



( Salinan semula Tulisan Almarhum Ayahanda yang disayangi Hj Abdul Rahman Hj Abd Kadir )


Disalin semula oleh
Musaniff bin Hj Abd Rahman
15 Mac 2006/ 15 Safar 1427


Peringatan : Almarhum Ayahanda yang disayangi
Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Kadir
Meninggal dunia pada 4hb Mac 2006/4 Safar 1427
( 1932 – 2006 ) berusia 74 tahun.Disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Keledang sebelum waktu Zohor pada 5hb Mac 2006.Al Fatihah

Monday, June 7, 2010

PERDU ABD RAHMAN














Abd Rahman adalah anak sulung Pawang Kadir. Dilahirkan pada tahun 1932. Berkahwin dengan Kalsom binti Mohd Taha. Dikurniakan 12 orang anak. Beliau meninggal dunia pada tahun 2006 di Hospital Bandar Jengka dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kg. Bukit Keledang, Bera. Selepas ketiadaan Pawang Kadir, beliau telah di ‘isytiharkan’ sebagai pengganti dengan gelaran Pawang Rahman. Manakala setelah ketiadaan Pawang Rahman anaknya yang ke 7 telah di isytiharkan sebagai pengganti.

Buat masa ini Perdu Abd Rahman menggandungi 62 ahli. Iaitu seorang isteri, 18 orang anak dan pasangannya, 33 orang cucu dan pasangan dan 9 orang cicit.

Nama-nama anak Abd Rahman ialah,

Isa , Musa, Salbiah, Zainol Abidin, Yahaya, Abd Aziz, Musaniff, Salina, Misluna, Rosdilawati, Shamsul Bohari dan Sabaruddin.

PANGGILAN PANGKAT GENERASI DAN GELARAN KELUARGA.

Bagi keluarga Pawang Kadir, kami mempunyai panggilan pangkat generasi dan gelaran keluarga yang kekal penggunaannya sehingga sekarang. Inilah panggilannya,

Panggilan Pangkat Generasi: ( Lelaki )

Pra-Gen 7 Moyang Yit
Pra-Gen 6 Tok Yit
Pra-Gen 5 Yit
Pra-Gen 4 Tok Moyang
Pra-Gen 3 Moyang
Pra-Gen 2 Aki / Tok ( Wan, perempuan )
Pra-Gen 1 Ayah / Abah ( Emak, perempuan )

Rujukan Si Pulan

Gen 1 Anak
Gen 2 Cucu
Gen 3 Cicit
Gen 4 Cuit
Gen 5 Gamit
Gen 6 Capai
Gen 7 Lambai


Panggilan Gelaran Keluarga: ( Lelaki / Perempuan )


Pertama Along / We / Embong
Kedua Angah
Ketiga De
Keempat Teh
Kelima Andak
Keenam Alang
Ketujuh Anjang
Kelapan Itam
Kesembilan Cek
Kesepuluh Cu

Friday, June 4, 2010

ADIK BERADIK PAWANG KADIR


Ayahanda Pawang Kadir bernama Haji Awang bin Imam Kassim. Beliau mempunyai empat orang isteri.
Isteri yang pertama mempunyai 6 orang anak. Isteri kedua seorang anak, isteri ketiga seorang anak dan isteri keempat juga seorang anak.

RUMAH PUSAKA 7 BUMBUNG


Rumah peninggalan Pawang Kadir di Kg Bukit Keledang, Bera. Sekarang ini masih lagi utuh, dan dihuni tetap oleh isterinya Siti dan anaknya yang bongsu Mohd Tarmizi.
AKPK telah mengadakan tiga kali pertemuan keluarga. Kesemua pertemuan itu di adakan di rumah ini. Rumah ini juga AKPK panggil Rumah Besar.

Thursday, June 3, 2010

ISTERI DAN ANAK PAWANG KADIR


Pawang kadir mempunyai empat isteri dan empat belas orang anak. Bilangan anak inilah yang menjadi asas pembentukkan AKPK 14. Kemudian untuk pengembangan AKPK ( Ahli Keluarga Pawang Kadir ) anak-anak ini akan dikenali sebagai PERDU. Sebagai contoh, anak yang pertama ialah Abdul Rahman. Maka pengembangan seterusnya akan dikenali sebagai Perdu Abd Rahman.Begitulah seterusnya untuk anak-anak yang lain.

Daripada isteri yang pertama Siti Maryam binti Imam Rasu dikurniakan empat orang anak iaitu Abd Rahman, Sapiah, Husin @ Ibrahim dan Abu Bakar @ Zulkifli. Apabila isterinya yang pertama meninggal dunia beliau telah mengahwini adik beradik isteri pertamanya bernama Halimah binti Imam Rasu. Dengan Halimah Pawang Kadir tidak dikurniakan cahayamata.

Apabila Halimah meninggal dunia beliau berkahwin dengan Siti binti Pendek dan dikurniakan sepuluh orang anak iaitu Kelesom @ Maimon, Jamaluddin , Ramlah, Dahilan, Halimaton, Salbiah, Badariah, Fatimah, Sakinah dan Mohd Tarmizi. Selepas itu Pawang Kadir mengahwini Esah binti Ibrahim dan tidak mempunyai cahayamata. Isterinya Esah meninggal dunia sekitar tahun 2003 di rumah cucunya bernama Musaniff di Bandar Jengka.

Wednesday, June 2, 2010

SEJARAH RINGKAS PAWANG KADIR



Haji Abdul Kadir bin Haji Awang bin Imam Kassim bin Imam Koming. Ibunya bernama Fatimah binti Haji Pin.

Dilahirkan pada 1907 di Kampung Guai, Temerloh/Bera. Meninggal dunia pada tahun 1987 sewaktu berusia 80 tahun.

Dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kg Guai, Temerloh/Bera. Mempunyai empat orang isteri dan 14 orang anak. Anak yang pertama bernama Haji Abd Rahman ( 1932 )
dan anak yang paling bongsu bernama Mohd Tarmizi (1973 ).

Sekarang mempunyai 246 ahli keluarga iaitu sehingga generasi ke 4 ( cuit ) termasuk 19 orang ahli dari keluarga anak angkat.

URUSETIA AKPK


Selamat Datang

Salam...